Tuesday, August 18, 2009

terlepas pandang

Penampilan anak Rembau di NS:
Mungkin sahaja 'terlepas pandang'
Wira Melayu yang terbabit dalam tragedi Kalabakan di Sabah pada dekad 1960-an ketika konfrantasi berikutan pencerobohan Indonesia, Leftenan Kolonal (B) Malakan Kamaruddin (gambar, pada 1960-an berpangkat kapten) adalah cucu kepada pelopor penubuhan Askar Melayu Dato' Sedia Raja Abdullah Haji Dahan, Undang Luak Rembau (1922-1938). Tragedi Kalabakan antara episod yang tercatat dalam sejarah pertempuran Askar Melayu yang menimbulkan ketegangan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Dato' Abdullah Dahan merupakan pembesar Melayu yang terbabit mendesak kolonial British menubuhkan Askar Melayu sebagai benteng pertahanan anak tempatan, kerana sebelumnya bergantung kepada States Malay Guide (tentera dari India dan Nepal).
Anak Leftenan Kolonal (B) Malakan, Rozmal ketika menghubungi saya meminta dibetulkan fakta mengenai Dato' Abdullah Dahan berdasarkan buku 'Askar Melayu 50 Tahun' yang dihasilkan Tan Sri Abdul Samad Idris. Ketika membantu Tan Sri Abdul Samad menyiapkan manskrip buku berkenaan, memang saya tak pernah menemui Leftenan Kolonal (B) Malakan, tetapi berhasrat untuk mendokumetasikan tragedi Kalabakan iaitu pada period pasca merdeka dan konfrantasi Indonesia. Selepas berpulangnya ke rahmatullah Tan Sri Abdul Samad Idris, saya merasakan keseorangan dalam usaha menulis dokumentasi ini. Entahlah!
Rozmal (gambar, terbabit sebagai aktivis PPSMI) mendakwa moyangnya Dato' Abdullah Dahan bukan berketurunan 'orang berada', apabila berjaya melanjutkan pengajian ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (institusi pengajian tinggi bagi anak-anak Melayu ketika itu). Haji Dahan sekadar penduduk kampung biasa di Kampung Bongek yang bergantung mata pencarian mengambil upah menurunkan buah kelapa dengan bantuan beruk peliharannnya sekitar dekad 1900-an. Disebabkan anaknya Dato Abdullah memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik, jsteru beliau mendapat sokongan gurunya untuk melanjutkan pengajian ke MCKK. Dengan mewarisi pesaka Undang Luak Rembau dari carak Sedia Raja, Dato' Abdullah dilantik menjadi Undang Luak Rembau pada 1922.
Memang sumbangan pimpinan di Rembau dalam gerakan nasionalisme di Negeri Sembilan hampir tak ditampilkan. Misalnya, Tuan Guru Haji Muhammad bin Itam ulama tersohor di Rembau yang memimpin pengajian pondok di Chengkau tak diberi perhatian. Barangkali penulis-penulis di Rembau seperti Drs A F Yassin, Shahrom Mohd Dom, Nurhalim Ismail, Dr Ruhaiti Majzub dan beberapa lagi mungkin 'terlepas pandang' dengan penampilan Tun Abdul Malik Yusuff, Baba Ludek, Dato' Siti Rahmah Kassim, Othman Taat, Dato' Perba Othman dan beberapa lagi. Tuan Guru Haji Muhammad Itam antara pimpinan ulama yang menyarankan penubuhan Kolej Islam Kelang pada 1951. Begitulah!

No comments:

Post a Comment